15Disember nanti genaplah umur Ahmad Afdhol@adik berumur 6 bulan. Perkembangan terbaru, adik kini sedang belajar untuk merangkak. Baru berupaya untuk mengangkat punggung sekejap2. Mungkin telah jemu asik bertiarap sejak umur 4 bulan.


Dalam usia semuda itu, adik seringkali menjadi sasaran abangnya untuk melepaskan geram atau sebagai bahan usikan. Kerana kecuaian aku atau hubby yang kadang kala terlepas pandang, si adik menjadi mangsa. Kadang kala kesabaran aku hilang terus melihat kenakalan si abang mengusik si adik. Hari ini sahaja, pelbagai ujian dihadapi Afdhol dalam mendepani tingkah abangnya, Zafran.
Pagi, sedang si adik ralit memerhati sepupunya bermain, datang si abang menampar adiknya tiba2. Mungkin si abang nak bermain dengan adik, tak puas kalau tengok adik hanya diam, abang nak dengar suara adik sampai ditampar muka dan badan si adik sampai adik menangis.

Sedang aku leka menukar langsir di bilik abah, adik menjerit lagi. Si wafa, anak saudaraku datang sambil mengendong si adik sambil menceritakan apa yang berlaku. Si abang geram akan adik, lalu mencengkam wajah si adik sehingga wajah adik luka bercalar di bahagian dagu dan pipi kanan. Ketika kejadian, Hubby baru sahaja keluar dari bilik untuk mencari sapu tangan kerana si abang selsema. Sedar sahaja si ayah dah keluar bilik, abang yang sedang bermain sendirian terus beralih kepada si adik yang leka bermain dan berbaring sendirian di atas katil.

Malam menjelang, adik tidur lena di dalam buaian. Azan Isyak berkumandang, aku yang masih bertelekung berhasrat nak terus solat. Tup2 adik di buaian terus menangis, sedar dari lena. Aku meminta bantuan kak ya untuk tolong angkat adik dari buaian dan jagakan sehingga aku selesai solat. Tapi sayangnya si abang lebih pantas menerpa ke bilik sebaik sahaja mendengar adik menangis. Wafa tidak sempat menghalang tindakan pantas si abang yang terus menuju ke buaian si adik. Sebaik sahaja kak ya sampai ke bilik untuk mengambil adik, adik telah jatuh dari buaian dan mengiring di atas lantai. Terjerit aku dan kak ya melihat si adik telah berada di lantai. Rasa nak luruh jantung melihat keadaan adik. Tidak tahu apa yang berlaku sebelumnya, khabar dari wafa mengatakan si abang telah membuatkan si adik terjatuh tanpa disengajakan. huhuhu...

Harap2 adik tidak mengalami sebarang komplikasi dalaman terhadap sebarang kejadian. Keaktifan si abang sedikit sebanyak dilempiaskan kepada si adik. Sehingga hari ini, aku lihat, adik masih tabah dengan tindakan si abang. Mungkin kerana adik masih belum mampu melawan dan menangkis perilaku si abang padanya. Jika tubuh adik mampu bertahan dengan pukulan abang, si adik tidak akan menangis. Adik akan menangis bila tindakan abang sampai boleh memberi kesan ke tubuh si adik.

Kadangkala, tatkala adik sedang meniarap sendirian, diajak adik bermain seperti mana dia sering bermain dengan hubby. Tanpa rasa bersalah atau mengetahui akibat perbuatannya itu, si abang duduk di belakang adik yang sedang meniarap. Ada ketika lainnya, sedang aku memegang si adik, si abang datang tiba2 dan membuat tamparan padu di muka si adik hingga meninggalkan kesan merah di pipi adik. Terkesima aku dan adik dengan tindakan pantas si abang.

Bila dimarahi, si abang hanya tersengih. Secara rasional, dalam hati, apalah yang si abang tahu dengan umurnya yang baru 1 tahun 10 bulan. Mungkin si abang menganggap ianya sebagai hiburan kalau ia berjaya membuatkan si adik menangis. Namun gurauan si abang menyakitkan anggota badan si adik.

Namun, dalam aspek lain, si abang sememangnya sangat menyayangi si adik. Tidur bersama, main bersama, seringkali ingin bersama. Pantang terdengar adik menangis, si abanglah yang paling awal sampai ke tempat adik berada. Tapi gurauan si abang membuatkan umi, ayah dan mungkin adik sendiri takut atau risau kerana unexpected atas apa yang bakal si abang lakukan kepada si adik.

Category: | 0 Comments

Popular Posts